Penjara 2 bulan langgar notis QO

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap seorang wanita  tempatan berusia 65 tahun kerana melanggar notis pengasingan diri (QO).

Hajah Noorliah binti Haji Noordin pergi ke Klinik Pengkalan Batu untuk mendapatkan rawatan perubatan pada 12 Ogos kerana mengalami batuk berterusan selama beberapa hari.

Doktor bertugas menjelaskan bahawa oleh sebab tertuduh menunjukkan gejala COVID-19, ujian swab harus dilakukan. Dengan itu, notis pengasingan diri selama lima hari dikeluarkan kepada tertuduh yang memerlukannya berada di rumah sepanjang tempoh tersebut.

Dia diingatkan untuk menunggu keputusan ujian swab dan diberi ubat yang ditetapkan. Dia kemudiannya pulang ke rumah tetapi memilih untuk tidak memberitahu kepada sembilan orang anggota keluarganya yang tinggal bersamanya bahawa dia telah diberi notis sedemikian.

Pada hari yang sama, tertuduh meninggalkan rumah bersama anak saudaranya untuk pergi ke kedai farmasi tanpa memberitahunya mengenai notis QO yang dikeluarkan pada awal hari tersebut. Tertuduh telah memandu ke sana tetapi meminta anak saudaranya untuk masuk ke kedai bagi membelikannya ubat batuk sementara dia menunggu di dalam kereta.

Tiga hari kemudian, tertuduh diberitahu oleh petugas kesihatan bahawa dia disahkan positif COVID-19 dan jejak kontak berikutnya mendedahkan bahawa dia melanggar notis QO apabila dia pergi ke kedai farmasi. Tertuduh yang merupakan seorang pesara, mengaku bersalah atas kesalahan itu dan meminta kelonggaran hukuman daripada mahkamah. Dia mendakwa bahawa dia harus keluar kerana ubat yang diberikan oleh klinik akan tamat tempoh pada September 2021.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman menekankan bahawa tertuduh sedar sepenuhnya bahawa ketika dia keluar, dia dilarang untuk meninggalkan rumahnya.

Pada masa itu, dia masih menunjukkan gejala COVID-19 dan belum mengetahui keputusan ujian swab yang dijalaninya. Kesalahan yang dilakukan hampir satu minggu sejak gelombang kedua COVID-19 melanda negara. Ketika menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana Haji Abdul Rahman menyatakan bahawa alasan tertuduh untuk melanggar notis QO tidak dapat diterima dan tertuduh menimbulkan risiko bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi juga kepada orang lain.

Beliau seterusnya menekankan bahawa tindakan serius harus diambil terhadap orang-orang yang melanggar arahan Kementerian Kesihatan dan hukuman berat harus dijatuhkan bagi melawan penyakit secara kolektif.