Penjara 27 bulan kerana mencuri

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah atas pelbagai kesalahan melibatkan pencerobohan rumah untuk mencuri telah dijatuhi hukuman penjara selama 27 bulan.

Hukuman ke atas Awangku Abdul Fadzri bin Pengiran Abdul Karim tersebut telah diputuskan oleh Hakim Muhammed Faisal bin PDJLDR DSP Haji Kefli hari ini di Mahkamah Perantaraan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus bin Mohammad mendedahkan bahawa tertuduh telah menyalahgunakan sebuah kereta pada awal pagi 18 November 2019 yang lalu di Jalan Kampung Bukit Bunga, Jerudong.

Tertuduh juga melakukan hal yang sama ke atas enjin motor bot Yamaha 30HMHS pada 1:30 pagi 18 November 2019 di Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong.

Tertuduh kemudiannya menukar nombor plat kereta di Kampung Salambigar pada 19 November 2019 dan kemudiannya menceroboh sebuah rumah di Kampung Biong, Jalan Rambai, Tutong pada subuh hari yang sama dan membawa lari bersama sebuah kotak perkakas, khemah, lampu solar LED, dua biji lampu, sebuah beg yang mengandungi pewangi dan wang syiling serta dua set radio.

Tindakan yang menyebabkan penangkapan tertuduh ialah apabila dia dijumpai berlari keluar rumah oleh jiran dan memasuki hutan di mana kemudiannya mendapati tertuduh tertidur di hutan tersebut dan menangkapnya untuk diserahkan kepada polis.