HONG KONG, 7 FEB – Khidmat sukarelawan akan digunakan bagi melaksanakan syarat kuarantin wajib terhadap semua pengunjung dari China dan sesiapa yang ingkar boleh dipenjarakan enam bulan.
Dalam usaha membendung penularan koronavirus baharu, Hong Kong menegaskan mulai esok, semua pengunjung dari China wajib dikuarantin 14 hari.
Pihak berkuasa berharap, tindakan itu dapat mengekang semua pergerakan merentasi sempadan dan pada masa sama, memastikan stok bekalan makanan dari China tidak terjejas.
Kabinet Hong Kong mengumumkan pelan kuarantin itu enam jam sebelum dasar baharu itu dikuatkuasakan.
Warga Hong Kong yang tiba dari China dibenarkan untuk kuarantin sendiri di rumah masing-masing manakala warga Chia dan pelawat antarabangsa lain boleh mematuhi syarat kuarantin itu di hotel atau tempat penginapan lain.
Setiausaha Kesihatan Hong Kong, Sophia Chan, berkata sesiapa yang pernah mengunjungi China dalam tempoh 14 hari lalu dan kemudian memasuki Hong Kong dari mana-mana destinasi lain, turut wajib dikuarantin.
Pihak berkuasa, dengan bantuan sukarelawan daripada sektor awam dan pelajar, akan melakukan pemeriksaan mengejut atau membuat panggilan telefon bagi memastikan syarat kuarantin dipatuhi. – AFP




























