Penjara 8 bulan, sebat tidak patuhi arahan di pos kawalan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Seorang lelaki warga Malaysia telah dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dengan tiga sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, atas lima dakwaan.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid terhadap Sim Eng Huat, 45, yang didakwa bagi kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Pasport, Penggal 146, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen, Seksyen 143 (b) Perintah Kastam, 2006, Seksyen 62 A (2) Akta Penyakit-penyakit Berjangkit, Penggal 204 dan Seksyen 26 (1) (a) Akta Lalu Lintas Jalan Raya, Penggal 68.

Siasatan yang dijalankan oleh pelbagai pihak berkuasa mendedahkan bahawa pada 24 Mei 2020, defendan memandu sebuah kereta dengan pendaftaran Malaysia memasuki Negara Brunei Darussalam menerusi Pos Kawalan Sungai Tujoh.

Defendan telah diminta berhenti bagi pemeriksaan imigresen dan kastam tetapi gagal berhenti seperti yang diarahkan dan terus memandu. Defendan juga telah diminta untuk berhenti bagi pemeriksaan perubatan tetapi enggan berhenti di tempat penyaringan kesihatan.

Fakta kes daripada Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalilah Hussin menunjukkan bahawa insiden berkenaan dilaporkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei dan defendan kemudiannya ditangkap.

Analisis makmal terhadap air kencing defendan mendapati bahawa dia di bawah pengaruh Methylamphetamine pada masa kejadian.