Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman dua bulan penjara terhadap dua lelaki yang mencuri tiga rim kereta manakala seorang lagi diperintahkan untuk menjalani pemeriksaan mental.
Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Yusof bin Haji Latif, 31, dan Omar bin Ali, 23, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Kampung Perpindahan Mentiri pada 19 September 2018.
Menurut fakta kes, ketika Mohammad Yusof menghantar Omar pulang ke rumahnya di Kampung Mentiri, mereka terserempak dengan seorang lelaki ‘Mr A’ yang meminta kedua-dua tertuduh untuk menemaninya.
Mereka berjalan-jalan di sekitar kawasan Mentiri dan ternampak tiga rim yang diletakkan di garaj sebuah rumah.
Mohammad Yusof memberhentikan keretanya dan keluar dari kereta bersama ‘Mr A’ manakala Omar menunggu di dalam kereta.
‘Mr A’ kemudian mengambil rim itu dan menyerahkannya kepada Mohammad Yusof, yang kemudian menyimpannya dalam but kereta.
Dalam masa sama, polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu menahan mereka sebaik melihat tertuduh berlari dari sebuah rumah menuju ke keretanya dan nampak mencurigakan.
Pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan rim dalam but kereta, yang mana tertuduh mendakwa adalah milik mereka. Tidak lama kemudian, penghuni rumah keluar.
Anggota polis kemudian bertanya jikalau dia memiliki rim dan adakah ia hilang.
Penghuni rumah terus memeriksa di garajnya dan mendapati rimnya telah hilang.
Polis menunjukkan rim itu kepada penghuni rumah, yang terus mengenalpasti rim itu adalah miliknya.
Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli membuat permohonan untuk ‘Mr A’ dirujuk ke Unit Kesihatan Mental untuk menjalani pemeriksaan mental.
‘Mr A’ sebelum ini adalah pesakit di unit tersebut.
Majistret Kanan Lailatul Zubaidah menangguhkan sebutan ‘Mr A’ sehingga laporan dari unit berkenaan diterima.