Penjara seakan rumah

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Seorang lelaki tempatan seakan-akan menjadikan penjara ‘rumahnya’ apabila dijatuhkan penjara selama 64 bulan kelmarin, apabila sekali lagi melanggar undang-undang.

Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Abdul Rahman mendapati Abdul Aziz bin Haji Aji/Haji Ali, 47, mempunyai senarai panjang dalam rekod kesalahannya. Kali terakhir dia dipenjarakan ialah sembilan tahun lalu dan dia dibebaskan awal tahun ini.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli yang melakukan pendakwaan mendedahkan bahawa tertuduh mencuri alat pemotong dari Kim Supersave di Kampung Tanjong Bunut pada awal malam 3 Ogos lalu.

Perbuatannya terakam dalam CCTV yang membantu siasatan polis.

Manakala pada 9 Ogos lalu, tertuduh ke sebuah kedai, Hyreen Company di Sungai Hanching di mana dia sekali lagi mencuri mesin pemotong dan perbuatannya turut dirakamkan dalam CCTV yang membantu polis menangkapnya apabila kecurian itu dilaporkan.