Penjara terbakar ragut 41 jiwa

TANGERANG, INDONESIA, 8 SEPT – Kebakaran yang melanda sebuah penjara penuh sesak Indonesia awal pagi ini semasa kebanyakan banduan sedang tidur telah mengorbankan 41 mangsa dan mencederakan puluhan lagi, kata pegawai.

Pasukan penyelamat berjaya memadamkan api, yang sebahagian besarnya terhad kepada satu blok yang menempatkan banduan kesalahan berkaitan dadah, sekitar jam 3 pagi dan berjaya memindahkan sebahagian mangsa.

Rakaman yang disiarkan dalam kaca televisyen menunjukkan kebakaran besar mengganas di blok penjara dengan asap tebal menyelubungi bangunan tersebut.

“Sekitar 40 banduan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi dalam perjalanan ke hospital,” kata Yasonna Laoly, menteri keadilan Indonesia, menambah bahawa lapan lagi cedera parah serta 31 mengalami cedera ringan.

Ketua polis Jakarta, Fadil Imran sebelumnya memberitahu media bahawa 72 mengalami cedera ringan.

Pihak berkuasa masih lagi menyiasat punca insiden di Penjara Tangerang, di luar bandar Jakarta, namun mensyaki masalah berpunca daripada elektrik.

“Berdasarkan pemerhatian awal, kebakaran itu disyaki berlaku kerana litar pintas,” kata Imran.

Laoly berkata sistem elektrikal penjara tidak pernah ditingkatkan sejak ia dibina lebih 40 tahun lalu, pada tahun 1972.

“Kebakaran itu merebak pantas dan masa tidak mencukupi untuk membuka kesemua sel…ketika pengawal mendapati kebakaran sudah pun merebak dan kami menemui mangsa-mangsa,” tambah Laoly.

Dia berkata polis mula mengenal pasti mangsa namun ujian DNA mungkin akan dilakukan ke atas mangsa yang sukar dikenal pasti. – AFP

Polis dan pegawai hospital menyimpan mayat dalam beg di hospital awam Tangerang pada 8 September. – AFP