Penjara tiga tahun kerana menceroboh

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Seorang lelaki penduduk tetap yang sebelum ini menafikan tuduhan menceroboh rumah dengan niat untuk mengganggu penghuni rumah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan itu hari ini.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid, ketika mempertimbangkan hukuman, mengatakan bahawa defendan mempunyai banyak rekod kesalahan sebelum ini dan telah dijatuhi hukuman penjara. Namun, dia tidak pernah melakukan pencerobohan dan mahkamah menganggapnya sebagai pesalah kali pertama.

Bagaimanapun, mahkamah memandang kes ini sebagai satu kesalahan serius, di mana terdapat kebimbangan selepas dia memasuki bilik mangsa sehingga boleh mengganggu keselamatan dan privasi mangsa. Mahkamah juga mempertimbangkan pengakuan bersalahnya dan memberikannya kelonggaran hukuman sewajarnya.

Timbalan Pendakwaraya Ahmad Firdaus Mohammad mendedahkan di mahkamah bahawa Kamarul Zaman bin Bahrom, 45, memasuki rumah mangsa di Perpindahan Lambak Kanan pada jam 7 malam 26 Mei lalu ketika mangsa menyangka bahawa dia memasuki rumah itu untuk berkunjung sempena Hari Raya. Defendan berjabat tangan dengan mangsa dan bertanya adakah dia boleh meminjam pengecas telefon dan mangsa membenarkannya.

Mangsa kemudian pergi untuk mendapatkan pengecasnya, sementara tertuduh mengambil ‘topi haji’ mangsa lalu meninggalkan rumah melalui pintu dapur.

Mangsa mengetahui bahawa defendan telah meninggalkan rumah dan melihat ke luar da mendapatinya melarikan diri. Bagaimanapun, mangsa terdengar ada seorang lelaki sedang bersembunyi di rumah jirannya. Mangsa dan jirannya kemudiannya mengejar defendan dan menangkapnya. Defendan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis selepas pihak polis tiba di tempat kejadian.