Penjawat awam ditahan kes samun, rogol

IPOH, 26 DIS – Polis menahan seorang penjawat awam yang disyaki menyamun dan merogol dua beradik di kawasan belukar tepi jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar, Manjung, Perak pada tengah malam Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata ketika kejadian, kedua-dua mangsa wanita berusia 20 dan 37 tahun itu, menaiki sebuah motosikal untuk pulang ke rumah sebelum ditahan oleh suspek yang turut menaiki motosikal di laluan itu kira-kira pukul 12:05 tengah malam. “Suspek berusia 21 tahun itu mengugut untuk membunuh mereka menggunakan pisau sekiranya tidak mengikut arahannya, sebelum ke-dua-dua mangsa dirogol,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah menangkap suspek di Ipoh pada pukul 2:20 petang semalam, dan merampas pakaian serta kenderaan yang digunakan ketika kejadian. Menurutnya pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang bertugas di Kota Samarahan, Sarawak dan sedang bercuti di Manjung itu, tidak mempunyai rekod jenayah lampau. – Bernama