Penjawat awam perlu jadi contoh patuhi arahan

KOTA KINABALU, 2 OGOS – Penjawat awam perlu menjadi contoh kepada masyarakat khususnya di Sabah dalam mematuhi pemakaian penutup mulut dan hidung seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor berkata ia merupakan antara tanggungjawab bukan hanya sebagai rakyat tetapi juga sebagai penjawat awam.

“……dan bukan antara orang yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ibadah korban di Kompleks Kediaman Persekutuan, Indah Permai di sini hari ini.

Samsuni berkata setakat ini semua pejabat agensi Persekutuan di negeri ini mematuhi SOP dengan memeriksa suhu badan, memakai penutup mulut dan hidung dan penjarakan fizikal dalam setiap majlis mahupun mesyuarat.

Bermula semalam, kerajaan telah mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung terutamanya di tempat awam yang sesak bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini. – Bernama

Kelihatan orang ramai mematuhi arahan kerajaan dengan memakai penutup mulut dan hidung semasa melakukan aktiviti riadah bersama keluarga ketika tinjauan di Taman Tasik Seksyen 14, Shah Alam, kelmarin. – Bernama