MESKIPUN mempunyai tugas hakiki sebagai peguam, Muhamad Faiq Adhwa Sharifuddin, 27, tetap mencuri masa melakukan aktiviti ‘menyelam’ mencari permainan terpakai dan barang antik bersama ibu bapanya pada hujung minggu.
Muhamad Faiq berkata, Pasar Karat Batu Pahat menjadi ‘port’ mereka menyelam pada hujung minggu dan kunjungan ke situ seperti satu kemestian sejak lapan tahun lalu iaitu sejak dia bergelar mahasiswa.
Bercerita lanjut, Muhamad Faiq berkata, pada mulanya, dia sekadar mengikut ibu dan bapanya mencari barang antik di pasar karat berkenaan namun turut ‘terjebak’ dan kini obses menjadi pengumpul permainan era 1980 hingga 1990-an.
“Dulu, setiap kali pulang ke kampung ketika cuti semester, saya selalu mengikut ibu dan ayah mencari barang antik, perabot dan barangan terpakai lain di Pasar Karat Batu Pahat.
“Bermula dari situ, timbul minat terhadap barangan terpakai malah saya turut membeli beg, baju dan kasut yang kemudian dijual di Facebook dan portal jual beli dalam talian iaitu Mudah.
“Lama-kelamaan, minat itu bertambah dan sejak tiga tahun kebelakangan ini, saya mula mengumpul pelbagai bentuk mainan dan permainan video untuk dijadikan koleksi,” katanya.
Persediaan awal
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, rutin pencarian barangan terpakai di port berkenaan bermula seawal jam 7 pagi pada setiap Jumaat.
Katanya, mereka bertiga ke situ lebih awal supaya mempunyai lebih banyak masa untuk mencari barangan diinginkan di pasar karat berkenaan.
“Ibu dan ayah lebih gemarkan barang antik manakala saya pula mencari permainan untuk dijadikan koleksi.
“Jadi, kami akan sama-sama mencari barangan kesukaan masing-masing yang ada dalam timbunan dan memaklumkan satu sama lain jika terjumpa benda unik,” katanya.
Muhamad Faiq berkata, semua koleksi kepunyaannya kini ditempatkan di sebuah rumah bersebelahan kediaman yang didudukinya.
Katanya, kediaman itu juga menempatkan pelbagai barangan antik milik ibu dan ayahnya.
“Barangan kami terlalu banyak dan itu sebabnya kami menyimpan semua koleksi yang ada di rumah berkenaan.
“Jika ada rezeki, saya bercadang membuka sebuah kafe berkonsepkan vintaj.
“Dengan adanya kafe itu, dapatlah saya pamerkan koleksi yang ada untuk tatapan orang ramai,” katanya.