Penjelasan bagi kontak kedua kes positif

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Sebelum ini sesiapa yang didapati menjadi kontak terdekat bagi mereka yang positif COVID-19 akan dipanggil untuk menjalani ujian swab.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan, mereka yang menjalani ujian swab akan diberikan tempoh kuarantin selama 14 hari.

Beliau menambah, kontak kedua (secondary contact) juga akan diarah untuk membuat ujian swab dan kontak kedua ini ada masanya akan diberikan tempoh kuarantin selama tujuh hari sama seperti Notis Pengasingan Diri (SIN) tetapi jika telah diberikan SIN ini, ia juga
boleh bertukar kepada perintah kuarantin.

“Terdapat juga mereka yang menerima kertas yang memaklumkan bila kuarantin mereka berakhir, tetapi selepas itu mereka ada lagi menerima dari BruHealth Quarantin Order (QO) dan jika mengalami perkara ini, gunakan pesanan yang diberikan oleh BruHealth QO.

“Jika mereka tidak menerima kedua-dua notis berkenaan tetapi merasakan dirinya kontak, mereka perlu menjalani swab terlebih dahulu,” jelas Yang Berhormat Dato lagi ketika menjelaskan mengenai kebimbangan yang dialami oleh mereka yang merasakan kontak kepada yang dijangkiti pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.