Penjenayah alam sekitar Sungai Kim Kim boleh dijejaki – Pakar

KANGAR, 15 Mac – Penjenayah alam sekitar Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang mengakibatkan pencemaran teruk sehingga menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang, boleh dijejaki, kata pakar Kejuruteraan Alam Sekitar, Dr Norazian Mohamed Noor.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu berkata perkara tersebut boleh dibuat sebaik pakar-pakar forensik kimia selesai menganalisis sampel bahan kimia yang diambil dari sungai yang menjadi tempat pembuangan sisa kimia itu.

“Identiti penjenayah alam sekitar itu akan dapat dikenal pasti apabila bahan unik dalam kompaun kimia dikenal pasti seperti D-Limonene, Toluene, Xylene dan Ethylbenzene.

“Ciri-ciri istimewa kompaun ini masih boleh diperincikan melalui ujian lanjut,” kata Dr Norazian dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Sejak pencemaran teruk itu dikesan pada 7 Mac lepas, lebih 1,500 orang mangsa mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk kesukaran bernafas dan ada yang masih dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Dr Norazian berkata penemuan D-Limonene iaitu bahan kimia hasil proses penguraian tayar yang merupakan bahan utama ditemui dalam sampel air yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar adalah contoh terbaik.

“Pakar-pakar forensik kimia akan mengenal pasti bahan-bahan unik dalam sampel tersebut untuk membuat profiling bahan.

“Profiling ini akan membawa kepada pelaku sebenar kerana setiap produk yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri unik berbeza dan boleh dikenal pasti,” tambahnya.

Dr Norazian berkata kaedah itu memudahkan pihak berkuasa untuk menjejaki pengeluar, pembekal dan pembeli bahan tersebut walaupun terdapat lebih 250 kilang perindustrian di Pasir Gudang. – Bernama

Pasukan perbersih giat melakukan kerja pembersihan bahan kimia di kawasan insiden pencemaran di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang. – Bernama