Penjenayah ‘terlepas’ tembakan di lapangan terbang

WASHINGTON, 21 NOV – Polis sedang memburu seorang penjenayah yang melarikan diri dari lapangan terbang antarabangsa Atlanta selepas dia melepaskan tembakan secara tidak sengaja semasa pemeriksaan keselamatan senjata dan mencetuskan panik.

Insiden semalam itu menyebabkan puluhan penumpang lari bertempiaran mencari perlindungan, dan mengakibatkan tiga kecederaan, yang bukan disebabkan tembakan berkenaan.

“Kami sedang memburu individu berkenaan,” kata Polis Atlanta Mejar Reginald Moorman pada sidang media selepas mengenal pasti suspek sebagai Kenny Wells, 42 tahun.

Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) berkata insiden berlaku selepas ‘barangan larangan’ dikesan dalam bagasi seorang penumpang oleh mesin Sinar-X.

Ketika seorang pegawai keselamatan membuka kompartmen yang mengandungi barangan tersebut, penumpang terbabit meluru ke depan dan merampas senjata api itu, di mana dia melepaskan tembakan.’

“Penumpang seterusnya melarikan diri dari kawasan itu, meluru ke pintu keluar lapangan terbang,” kata TSA, menambah pegawai berkenaan telah memberitahu penumpang supaya jangan menyentuh barangan tersebut.

Seorang individu cedera apabila jatuh dalam keadaan panik dan dua yang lain mengadu sesak nafas, kata polis.

Sejurus selepas insiden pada kira-kira 1:30 petang, lapangan terbang berkata di Twitter tidak adanya penembak aktif dan tidak timbulnya risiko terhadap penumpang atau pekerja lain.’ – AFP

Gambar fail menunjukkan penumpang melalui pintu keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Atlanta di Atlanta. Seorang penjenayah yang melarikan diri dari lapangan terbang antarabangsa Atlanta selepas dia melepaskan tembakan secara tidak sengaja sedang diburu polis. – AP