PALU, INDONESIA, 13 FEB – Pengacara televisyen Australia, Matthew Wright ‘turun padang’ untuk membantu menangkap seekor buaya gergasi Indonesia bagi mengeluarkan tayar motosikal yang tersekat di lehernya.
Beliau yang mengacarakan rancangan National Geographic, ‘Monster Croc Wrangler’ berada di pulau Sulawesi itu hari ini bersama pasukan menggunakan perangkap berumpan itik, dron malah tempuling dalam usaha untuk menangkap reptilia itu.
“Tempuling itu tidak akan mencederakan buaya tersebut,” kata penjinak buaya itu memberitahu para wartawan hari ini di bandar Palu.
Wright memberitahu lebih 200,000 pengikut di Instagram yang pasukan itu telah memerangkap seekor buaya kecil kelmarin sebagai ‘latihan bagi peristiwa besar’.
Namun menangkap haiwan buas itu adalah satu cabaran, katanya, kerana persekitaran sukar dan faktanya ia tidak lapar disebabkan banyak makanan dalam sungai.
“Jika kami tidak menangkapnya semasa saya di sini, mereka akan terus memasang perangkap. Mereka akan terus mencuba,” kata Wright.
“Kami mungkin tidak menangkapnya dalam masa dua hari ini…tetapi kami perlu menangkapnya.” – AFP


































