Penjual durian bina sekatan kayu pastikan jarakan sosial

GEORGE TOWN, 26 JUN – Seorang penjual durian di Pulau Pinang berusaha lebih untuk memastikan pelanggannya dapat membeli raja buah sambil menjaga jarak sosial dalam usaha menghalang penularan pandemik COVID-19.

Tan Chee Wei membina tujuh sekatan kayu untuk membolehkan pelanggannya memilih durian yang mereka mahu dengan teliti sebelum membuat pembelian.

Selain sekatan kayu selebar kira-kira dua kaki yang dibina sendiri, penjual buah itu turut meletakkan tanda garisan jarak satu meter untuk penjarakan sosial pelanggan semasa beratur.

“Sekatan kayu ini untuk memisahkan setiap pelanggan dan mengelak daripada mereka berkumpul beramai-ramai di depan gerai. Hanya seorang pelanggan dibenarkan di satu ruang pada satu masa. Pelanggan juga digalakkan mendaftarkan maklumat mereka dan suhu badan mereka diperiksa sebelum dibenarkan membuat pesanan.

“Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan menjadi keutamaan dan saya yakin kaedah ini akan memberi keyakinan kepada pelanggan terhadap perkhidmatan saya,” katanya, kepada Bernama ketika ditemui di gerainya di Jalan Paya Terubong. – Bernama

Pasangan suami isteri memilih durian di sebuah ruang pelanggan yang disediakan bagi memastikan pelanggan dapat membeli raja buah itu tanpa perlu risau keselamatan semasa wabak COVID-19. – Bernama