Baru-baru ini, isu mengenai kualiti makanan di pasar malam Gadong telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembeli yang merasa teraniaya.
Selepas tular dalam media sosial mengenai tongkeng ayam salai yang masih ada bulu, selang beberapa hari ada lagi aduan tentang mi yang dijual sudah bangas.
Kekesalan si pembeli yang diungkapkannya di laman Facebook itu telah dikongsi ramai oleh para pengguna media sosial tersebut.
Jika hal itu terjadi kepada para pelancong, pasti ia akan memberi tanggapan negatif terhadap negara kita.
Isu sebegini menunjukkan bahawa terdapat beberapa penjual makanan di petak tersebut bersikap alpa, tidak menghiraukan kesihatan orang awam dan hanya mementingkan keuntungan jualan sahaja.
Sudah menjadi adat berniaga, ada untung ada rugi, jadi para peniaga jangan bersikap tamak dan tidak jujur dengan menjual semula makanan yang tidak habis pada keesokan harinya.
Peniaga sepatutnya memastikan makanan yang dijual dalam keadaan yang baik dan selamat untuk dimakan kerana ia melibatkan keselamatan orang awam.
Oleh itu, saya menyeru kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk sentiasa membuat pemeriksaan mengejut dan menilai tahap makanan yang dijual di negara ini.
Pemeriksaan berkala harus dilaksanakan bagi memastikan standard kualiti dipatuhi.
Di samping itu, peniaga juga harus diberi latihan yang sewajarnya mengenai amalan penyimpanan dan penyediaan makanan yang betul serta tidak melakukan pembaziran.
Irdina