Penjualan kereta 27 pasaran Eropah menurun

PARIS, 17 APRIL – Penjualan kenderaan Eropah jatuh 55 peratus bulan lalu akibat wabak koronavirus ketika langkah-langkah lockdown dikenakan di kebanyakan negara, kata persatuan perdagangan industri itu hari ini.

Pendaftaran kereta baharu – proksi untuk penjualan – merosot kepada 567,308 kenderaan bulan lalu, berbanding lebih 1.2 juta pada bulan yang sama tahun lalu, kata Persatuan Pengilang Automobil Eropah (ACEA).

“Semua 27 pasaran Eropah menguncup pada bulan Mac, tetapi Itali paling terkesan akibat penularan koronavirus, dengan pendaftaran turun 85.4 peratus kepada 28,326 kereta baharu,” kata ACEA.

Perancis juga antara negara yang paling terjejas dengan penurunan 72.2 peratus, begitu juga Sepanyol di mana penjualan jatuh 69.3 peratus. Di Jerman pula penjualan kenderaan turun 37.7 peratus. Semua pembuat kenderaan kini berdepan dengan kesukaran, tetapi Fiat Chrysler mengalami penurunan paling teruk pada kadar 76.6 peratus, kerana ia sangat bergantung pada pasaran Itali. – AFP

Pekerja dilihat ketika berada di kemudahan pembuatan kereta Fiat Chrysler. Fiat Chrysler mengalami penurunan paling teruk pada kadar 76.6 peratus, kerana ia sangat bergantung pada pasaran Itali. – AFP