MILAN, 19 MEI – Penjualan kereta Eropah menjunam bulan lalu kerana industri automotif menghadapi krisis terburuk dalam beberapa dekad.
Langkah perintah berkurung yang ketat akibat penularan COVID-19 telah menutup kebanyakan syarikat dan kilang pengeluar kereta di seluruh benua pada bulan April menyebabkan penurunan perbelanjaan pengguna yang mendadak dan penjualan merosot sebanyak 76 peratus yang belum pernah terjadi sebelum ini, kata Persatuan Pengeluar Kereta (ACEA).
Pembuat kereta di seluruh benua menjual hanya 270,682 kenderaan bulan lalu, berbanding 1.14 juta pada tahun sebelumnya, penurunan permintaan kereta bulanan yang teruk pernah direkodkan,” kata ACEA.
Selatan Eropah yang paling terjejas dengan penurunan pendaftaran kereta baharu, sebanyak 97.6 peratus di Itali dan 96.5 peratus di Sepanyol, ketika kedua-dua negara tersebut bergelut dengan wabak COVID-19 dengan kes jangkitan tertinggi di Eropah.
Perancis menyaksikan penurunan 89 peratus sementara Jerman mengalami penurunan 61 peratus. Penjualan untuk empat bulan pertama tahun ini menurun sebanyak 39 peratus.
Pada bulan Mac penurunan sebanyak 55 peratus, penurunan itu jauh lebih buruk daripada semasa krisis kewangan global pada 2008-2009, yang mencetuskan kemerosotan pembelian kereta selama enam tahun.
Kerugian paling teruk semasa krisis kewangan berlaku pada Januari 2009, ketika penjualan jatuh 27 peratus.
Krisis ini melanda kedua-dua syarikat pembuat pasaran besar-besaran dan kereta mewah. Kumpulan Volkswagen mengekalkan bahagian pasaran terbesar, berkembang sebanyak 30 peratus walaupun penurunan penjualannya sebanyak 73 peratus.
Perancis PSA Group dan Renault menyaksikan penurunan sekitar 80 peratus sementara Fiat Chrysler yang sedang mencari pinjaman yang disokong kerajaan Itali berjumlah 6.3 bilion euro menjunam sebanyak 88 peratus. Pembuat kereta mewah Jerman, BMW dan Daimler masing-masing mengalami penurunan sebanyak 65 peratus dan 79 peratus. – AP





























