Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Penjualan kereta EU catat rekod paling buruk

    PARIS, 18 JAN – Penjualan kereta di Kesatuan Eropah (EU) menurun kepada tahap terendah tahun lalu ketika sektor automotif terjejas akibat pandemik COVID-19 dan kekurangan bekalan cip komputer, menurut angka yang dikeluarkan oleh industri, hari ini.

    Pendaftaran bagi kereta baharu di EU menurun 2.4 peratus pada 2021, kepada 9.7 buah kenderaan, prestasi terburuk sejak statistik diperkenalkan pada 1990, menurut data dari Persekutuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA).

    Ini diikuti dengan penurunan hampir 24 peratus yang dialami pada 2020 akibat sekatan pandemik, dan menjadikan pendaftaran kereta di EU kepada 3.3 juta merosot berbanding pra krisis pada 2019.

    Kekurangan bekalan semi konduktor, cip komputer yang digunakan dalam pelbagai sistem kereta sama ada kenderaan tradisional dan elektrik, kekal menjadi penyebab utama kepada kemerosotan industri.

    “Penurunan ini adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan semi konduktor yang memberi impak negatif kepada pengeluaran kereta sepanjang tahun, terutama semasa separuh kedua 2021,” menurut ACEA.

    Pengeluar kereta pada mulanya tidak menghiraukan kesan kekurangan bekalan cip, namun akhirnya menyebabkan penghasilan yang perlahan malahan membuatkan kilang-kilang tidak dapat melakukan apa-apa.

    Perspektif jangka pendek bagi bekalan tidak begitu memberangsangkan.

    “Permulaan 2022 akan menjadi sukar dari segi bekalan cip,” kata Alexandre Marian dari konsultasi AlixPartners memberitahu AFP.

    “Situasi sepatutnya bertambah baik pada pertengahan tahun, akan tetapi ini tidak bermakna masalah lain tidak akan timbul, kerisauan mengenai kekurangan bahan mentah, rantaian bekalan dan buruh,” tambahnya.

    Kekurangan bekalan cip adalah akibat pandemik di mana pengilang terjejas disebabkan oleh perintah sekatan dan kakitangan yang dijangkiti virus, serta masalah rantaian bekalan dan peningkatan permintaan global terhadap barangan elektronik.

    Pandemik turut mempengaruhi kenaikan harga bagi sebahagian besar bahan mentah dan kekurangan buruh di beberapa bahagian. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...