NEW YORK, 3 JULAI – Penjualan kenderaan elektrik Tesla merudum pada suku kedua tahun ini berbanding dengan sebelumnya yang berpunca dari penutupan selama berminggu-minggu di kilang pembuatan kereta mereka di China, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut, kelmarin.
Perusahaan milik Elon Musk itu menjual sebanyak 254,695 kenderaan dari April hingga Jun, menurut kenyataan itu lagi.
Penjualan berkenaan lebih banyak berbanding tahun lalu tetapi merosot sebanyak 18 peratus dari Januari hingga Mac tahun ini dan kemerosotan tersebut adalah kali pertama berlaku dalam dua tahun.
Perkara tersebut mengecewakan syarikat berkenaan ketika mereka berkata ia mencatat peningkatan yang ketara selepas pembukaan dua kilang baharu pada tahun ini, iaitu di Jerman dan Texas.
Kemerosotan dalam penjualan kenderaan lebih besar berbanding dengan jangkaan pakar analisis mereka, yang sepatutnya menjangkakan sebanyak 264,000 kenderaan akan dihantar kepada pembeli, menurut syarikat maklumat kewangan dan perisian, FactSet.
Tesla menekankan pada April lalu bahawa rantaian bekalan akan menjejaskan industri pembuatan kenderaan secara umum, yang mengganggu proses pembuatan kenderaan syarikat sehingga hujung tahun ini.
Walau bagaimanapun, syarikat tersebut masih lagi mencatat rekod penghantaran kereta terbanyak dalam suku pertama pada tahun ini.
Pada suku kedua pula, Tesla terpaksa bergelut kerana berlakunya penutupan kilangnya di Shanghai untuk beberapa minggu kerana langkah perintah kawalan pergerakan yang ketat di China disebabkan oleh penularan kes jangkitan COVID yang meningkat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, syarikat tersebut berkata mereka telah menghasilkan sebanyak 258,000 kenderaan pada suku kedua tahun ini walaupun berdepan dengan cabaran rantaian bekalan dan penutupan kilang yang berada di luar kawalan mereka.
Kenyataan tersebut menyatakan lagi, bulan Jun adalah pembuatan kenderaan tertinggi yang direkodkan dalam sejarah Tesla. – AFP