Thursday, July 17, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PENJURU anjur majlis ramah mesra

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Bagi memantapkan profesion kejururawatan dan perbidanan, mereka disarankan untuk sentiasa mengutamakan ciri-ciri memberikan khidmat bakti kepada masyarakat yang memerlukan pemedulian dan perawatan tanpa mengira apa pun latar belakang, kepercayaan, sosioekonomi dan budaya.

    Ini adalah kerana profesion perbidanan di Negara Brunei Darussalam sudah pun diterima menjadi ahli kepada ‘International Confederation of Midwives’ yang mempunyai keahlian lebih daripada 180 buah negara di seluruh dunia.

    Perkara itu dijelaskan oleh Yang Di-Pertua Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU), Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah pada Majlis Ramah Mesra Jururawat dan Bidan serta keluarga anjuran PENJURU yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah berkata lagi, menjadi ahli kepada International Confederation of Midwives itu merupakan satu lagi perkembangan membanggakan dengan memantapkan lagi aspek yang perlu diambil perhatian seperti penekanan kepada penyusuan susu ibu yang juga diraikan oleh Bahagian Perbidanan Negara Brunei Darussalam seperti yang dilakukan seluruh dunia pada masa ini.

    Beliau seterusnya menambah, sebagai ahli-ahli dalam profesion kejururawatan dan perbidanan, pengamalan etika kerja yang berpegang kepada prinsip dan etika profesion kejururawatan dan yang berkaitan dengannya hendaklah dipatuhi supaya para jururawat dan bidan akan dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di mana saja mereka berada.

    Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah serta tetamu khas yang lain pada majlis berkenaan.
    Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah serta tetamu khas yang lain pada majlis berkenaan.

    Antara jururawat dan bidan yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Jururawat dan Bidan di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.
    Antara jururawat dan bidan yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Jururawat dan Bidan di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

    “Kerjaya kejururawatan dan bidan perlu berhubung rapat dengan keluarga dan masyarakat selain kepercayaan kepada pemedulian yang diberikan adalah dengan menumpukan kepada pemberian perkhidmatan yang cemerlang kepada yang memerlukan,” jelasnya.

    Profesion kejururawatan sememangnya mengehendaki banyak pengorbanan dan demi memberi khidmat serta penjagaan yang terbaik kepada para pesakit Insya-Allah, Allah Ta’ala akan memberikan ganjaran berlipat kali ganda kepada mereka, ujarnya lagi.

    Majlis itu adalah sebagai salah satu cara memberikan penghargaan kepada jururawat yang telah banyak menyumbang tenaga dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di samping menghadapi cabaran yang setentunya menjadi asam garam dalam membuat tugas sebagai seorang jururawat dan bidan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda