Penonton dibenarkan saksikan larian obor

TOKYO, 25 FEB – Penonton akan dibenarkan untuk beratur sepanjang jalan apabila obor Olimpik memulakan larian yang tertunda ke seluruh Jepun bulan hadapan, kata penganjur hari ini, tetapi sorakan akan dilarang sama sekali.

Obor larian dibatalkan bebe-rapa hari sebelum dijadual bermula tahun lalu apabila Jepun dan pegawai Olimpik mengambil langkah yang tidak pernah dilakukan untuk menunda Sukan Tokyo 2020 disebabkan oleh pandemik koronavirus. Meskipun kebimbangan yang berlarutan mengenai keselamatan untuk menganjurkan Sukan Olimpik pada musim panas, penganjur berkata acara besar boleh diteruskan dan larian obor akan bermula seperti yang dirancang iaitu pada 25 Mac.

“Situasi jangkitan akan berbeza dari kawasan ke kawasan, jadi kami perlu mengambil kira faktor itu dan adalah amat penting untuk mengatur langkah terperinci,” beritahu presiden Tokyo 2020, Seiko Hashimoto kepada wartawan.

“Kami mahu penduduk di semua kawasan memahami situasi dan menyatukan seluruh negara di bawah konsep larian obor ‘Hope Lights Our Way’.

Hashimoto turut berharap keputusan mengenai jumlah peminat dibenarkan memasuki arena Olimpik akan diambil sebelum larian obor bermula. Penganjur sebelum ini berkata mereka akan membuat keputusan pada ‘musim bunga’. “Saya rasa kami perlu mempunyai perkembangan apabila larian obor bermula,” kata media memetik ucapan presiden Sukan Tokyo tersebut. – AP