Penoreh getah ditahan bersama senapang, 360 butir peluru, haiwan eksotik

GERIK, 27 MEI – Polis menahan seorang penoreh getah dan merampas dua laras senapang, 360 butir peluru, empat kilogram daging kijang bernilai RM400 serta seekor burung murai batu di sebuah rumah di Kampung Sira Panas, Bersia Lama di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Ismail Che Isa berkata lelaki berumur 34 tahun tersebut ditahan dalam satu serbuan Ops Khazanah oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik bersama Jabatan Perhilitan dan Pasukan Gerakan Am (PGA) pada kira-kira pukul 7 petang.

Katanya, senjata api buatan sendiri itu ditemui disembunyikan dalam bilik air rumah itu, daging kijang ditemukan dalam peti sejuk beku manakala burung murai batu yang mempunyai nilai pasaran antara RM1,000 hingga RM3,000 disimpan dalam sangkar. – Bernama

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Ismail Che Isa (dua, kanan) dan Ketua Siasatan Jenayah Daerah Gerik, ASP Azman Yazid (kanan) menunjukkan dua senapang yang dirampas daripada seorang penoreh getah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Gerik, kelmarin. – Bernama