Pensijilan A’bangsa tingkat kewibawaan syarikat

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan DARe

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Dalam menghadapi pandemik COVID-19, diakui bahawa pertumbuhan produktiviti perlahan bagi sesetengah industri dan memaksa kebanyakan perniagaan untuk berinovasi serta merangkul teknologi di mana dengan menggunakan standard antarabangsa, para pelanggan mengetahui bahawa mereka akan menerima pengalaman pelanggan berkualiti tinggi, menambah kewibawaan kepada jenama mereka serta menghendaki pekerja mereka untuk berkhidmat di tahap yang tinggi.

“Dengan persijilan standard antarabangsa, kita berharap bahawa dengan sistem pengurusan yang lebih baik, syarikat-syarikat akan dapat menghasilkan pengeluaran yang lebih baik,” jelas Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku ahli Lembaga Darussalam Enterprise (DARe) ketika berucap pada acara Tea & Talk yang berlangsung di Dewan Mutiara, Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan pada 14 Januari lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, di sini, acara anjuran DARe itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Javed Ahmad, pengurusan DARe dan syarikat-syarikat daripada beberapa inisiatif DARe.

Acara itu merupakan acara rangkaian tahunan bagi tiga inisiatif DARe yang menumpukan kepada potensi pertumbuhan syarikat iaitu Program Konsultasi Standard (SCP), DARe Links dan Program Elevate di mana ia memberikan peluang bagi pertukaran ilmu pengetahuan, mencari peluang bagi kolaborasi serta untuk meraikan syarikat-syarikat yang telah diiktiraf di bawah SCP DARe.

Dalam ucapannya lagi, Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin juga menyatakan bahawa salah satu manfaat daripada kejayaan memperoleh pensijilan standard antarabangsa adalah kesan positif dalam mempengaruhi persepsi orang ramai mengenai perolehan serta kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Dengan standard antarabangsa seperti persijilan ISO yang diiktiraf antarabangsa, ulasnya lagi, perdagangan di antara negara akan menjadi lebih mudah dan perniagaan mereka akan memperoleh akses kepada pasaran dan pelanggan baharu di mana ia akan menawarkan peluang-peluang yang lebih baik.Sementara itu, Javed Ahmad dipetik mengongsi bahawa di bawah Program Konsultasi Standard DARe, sebanyak 15 buah syarikat telah berjaya untuk memperoleh pensijilan antarabangsa dengan 31 buah syarikat yang menyertai program itu, sedang menjalani program ke arah pensijilan.

Beliau menambah bahawa di samping Program Konsultasi Standard, inisiatif-inisiatif lain DARe termasuk Program DARe Links dan Program Elevate dirangka dengan tujuan untuk memberikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, pertumbuhan perniagaan serta juga untuk menyumbang kepada mempelbagaikan ekonomi Brunei dan kejayaan rangka tindakan ekonomi.

Kenyataan menyatakan bahawa sejak pelancaran SCP pada September 2018, sebanyak 15 buah syarikat telah diperakukan dalam ISO 9001 (Quality Management System) HACCP& ISO 22000 (Food Safety Management System), GMP (Good Manufacturing Practice) dan ISO 18295 (Customer Contact Centre Standard).

Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin ketika menyampaikan ucapannya pada acara itu.
Sesi perkongsian yang diadakan semasa Acara Tea & Talk yang berlangsung di Dewan Mutiara, Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan pada 14 Januari lalu.