Penstriman tetap rangsang industri muzik AS

NEW YORK, 26 FEB – Industri muzik Amerika Syarikat (AS) mencatat pertumbuhan dua digit untuk tahun keempat berturut-turut pada 2019 untuk menjana pendapatan berjumlah AS$11.1 bilion, kata penjejak industri semalam, memetik pengaruh penstriman yang berterusan.

Jumlah pendapatan pada tahun ini melonjak 13 peratus, kata Persatuan Industri Rakaman Amerika dalam laporan tahunan, dengan penstriman menyumbang kepada AS$8.8 bilion, hampir 80 peratus daripada jumlah keseluruhan.

RIAA berkata langganan untuk perkhidmatan penstriman seperti Spotify dan Tidal menyumbang bahagian terbesar dan menandakan sumber pertumbuhan pendapatan terbesar – meningkat 25 peratus berbanding tahun 2018.

Langganan berbayar menyumbang kepada 61 peratus daripada jumlah pendapatan muzik rekod, dengan 60.4 juta pelanggan berbayar untuk perkhidmatan yang diminta. – AFP