Pentadbiran Trump saman Bolton

WASHINGTON, 17 JUN – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) semalam memfailkan tuntutan mahkamah untuk menghalang bekas penasihat keselamatan John Bolton menerbitkan memoir mengenai kerjayanya di Rumah Putih, lapor agensi berita Xinhua.

Tuntutan mahkamah itu difailkan di Mahkamah Daerah Columbia, mendakwa memoir yang dijadual dikeluarkan pada akhir bulan ini, mengandungi maklumat rahsia yang boleh mengancam keselamatan negara.

Bolton merancang untuk mengeluarkan memoirnya bertajuk ‘The Room Where It Happened,’ pada 23 Jun ini, selepas tertangguh selama berbulan-bulan. Presiden Donald Trump pada Isnin mendakwa ‘sangat tidak sesuai’ untuk Bolton menulis memoirnya.

“Mungkin dia tidak mengatakan perkara sebenar, dia memang dikenali sebagai seorang yang suka tidak bercakap benar,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih. – Bernama