WASHINGTON, 26 Okt – Pentagon dijangka menghantar kira-kira 800 orang tentera ke sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico, dua orang pegawai AS memberitahu AFP semalam, selepas Presiden Donald Trump berkata pihak ketenteraan akan membantu menangani ‘kecemasan kebangsaan’ dan menggesa konvoi penghijrah yang menuju ke AS supaya berpatah balik.
Pasukan tentera itu akan menambah kira-kira 2,000 Pengawal Kebangsaan yang telah pun dihantar untuk membantu operasi di sempadan dan mungkin dari banyak pangkalan tentera di seluruh AS.
Setiausaha Pertahanan Jim Mattis dijangka akan menandatangani arahan sama semalam atau hari ini bagi penghantaran baharu, menurut pegawai itu.
Pasukan tentera itu akan termasuk doktor dan jurutera dan terutamanya akan digunakan untuk memberi bantuan logistik termasuklah khemah, kenderaan dan peralatan. – AFP