Pentas final Piala Dunia jadi rebutan

SAINT PETERSBURG, 10 Julai – Perancis akan mempamerkan bakat serangannya yang terdiri daripada Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann menentang pasukan ‘generasi emas’ Belgium pimpinan Eden Hazard di Saint Petersburg awal pagi Rabu ini, dengan pentas final Piala Dunia menjadi rebutan.

Perlawanan separuh akhir antara jiran Eropah itu menjanjikan saingan sengit ketika Perancis menyasarkan kembali ke final buat pertama kali sejak pasukan pimpinan Zinedine Zidane di Jerman pada tahun 2006.

Belgium dijangka mencipta sejarah dengan mara ke final buat pertama kali dalam sejarah mereka, di mana sebelum ini mereka hanya mara ke separuh akhir sekali pada tahun 1986.

Pemenang akan berdepan sama ada Croatia atau England di Stadium Luzhniki pada hari Ahad.

Dengan Eden Hazard mula mempamerkan kelincahannya dan Romelu Lukaku menguatkan lagi jentera serangan, Belgium mempunyai kekuatan untuk menewaskan Perancis.

Penyerang sensasi Perancis, Kylian Mbappe. Penyerang muda Perancis ini dijangka menjadi tumpuan ketika menentang Belgium. – AFP

Namun senjata rahsia mereka mungkin berada di tepi garisan, iaitu pemain terbaik sepanjang zaman Perancis, Thierry Henry, yang kini berperanan sebagai pembantu kepada Roberto Martinez.

Keyakinan Belgium pastinya tinggi selepas menyingkirkan Brazil pada suku akhir dan mereka merupakan satu-satunya pasukan yang telah memenangi kesemua perlawanan di Rusia, dengan menjaringkan 14 gol.

Sementara itu, Perancis kendalian Didier Deschamps gagal mempamerkan ketajaman mereka pada peringkat kumpulan, namun mula menunjukkan taring mereka dalam kemenangan 4-3 ke atas Argentina, dalam perlawanan yang menyaksikan Mbappe membanyangi aksi Lionel Messi dan mengumumkan ketibaannya sebagai bintang baru bola sepak.

Pasukan Perancis kemudian mempamerkan aksi mantap dalam kemenangan 2-0 ke atas Urguay pada saingan suku akhir.

Kejayaan Perancis hingga mencapai peringkat ini adalah hasil gabungan pemain muda dan berpengalaman selepas mereka mara ke final di Euro 2016. – AFP