Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Penternak belia berazam terus lakar kejayaan

    KUALA LUMPUR – Pernah diduga pelbagai cabaran termasuk rugi lebih RM200,000 ketika mula berjinak dalam bidang penternakan, tidak melunturkan keazaman seorang usahawan belia untuk terus melakar kejayaan sehingga mampu memperoleh pendapatan lebih RM30,000 sebulan.

    Mohd Zulashrafe Abdul Ghani, 37, yang memulakan kerjaya itu pada 2013 mengakui walaupun ia menjanjikan pendapatan lumayan, perniagaan tersebut tidak boleh dijalankan secara semberono tetapi memerlukan ilmu yang betul.

    “Saya kerap beli kambing secara borong yang dijual murah, akibatnya ada antara kambing itu berpenyakit dan akhirnya mati. Daripada keseluruhan 500 ekor yang saya beli, yang benar-benar sihat hanyalah 144 ekor. Malah, ladang saya juga diceroboh selain diugut walaupun ia jauh dari kawasan penempatan.

    “Awalnya, saya bukan sahaja menternak kambing tetapi juga lembu, ayam kampung dan itik, namun ia sukar dijual. Duit pula semakin berkurangan, jadi kerana terdesak, saya perlu menjual kesemuanya secara borong dengan harga murah bagi mendapatkan modal pusingan,” katanya kepada Bernama.

    Enggan mengulangi kesilapan lama, Mohd Zulashrafe kemudiannya mula menumpukan kepada ternakan kambing dan biri-biri sahaja pada 2015 berikutan haiwan itu mudah dijaga, dan tidak memerlukan ruang luas serta mempunyai potensi pasaran yang tinggi.

    Enggan mengulangi kesilapan lama, Mohd Zulashrafe mula menumpukan kepada ternakan kambing dan biri-biri sahaja pada 2015.– Bernama

    Pada masa sama, Mohd Zulashrafe yang juga pengasas MZAG Agro Farm di Sabak Bernam, Selangor ini mula sedar pengurusan kewangan yang baik merupakan aspek penting dalam merancakkan jualan selain menjamin kelangsungan sesebuah perniagaan.

    “Ketika itu, akibat terdesak, saya terpaksa jual seekor kambing dengan harga RM530, lembu di bawah RM3,000 dan itik dengan harga RM3 seekor bagi mendapatkan modal pusingan.

    “Jadi, sejak itu saya mula menggunakan formula iaitu kambing hanya akan dibawa masuk untuk jualan manakala lembu pula dijadikan jualan sampingan sekiranya ada permintaan,” katanya yang mendapat bimbingan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bernam Jaya.

    Berkat usaha gigihnya selama ini, MZAG Agro Farm hari ini berkembang maju sehingga mampu membekalkan 4,000 hingga 6,000 ekor kambing dan biri-biri setahun dengan jumlah pendapatan bulanan mencecah lebih RM30,000 selain skop perniagaan diperluaskan apabila turut mengeluarkan produk Kambing Perap Pukau dan susu kambing asli sejak 2019.

    “Saya juga sedia menyalurkan kepakaran serta pengetahuan kepada mereka yang berminat dalam bidang ini khususnya buat golongan B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19, agar ilmu yang diperoleh boleh diturunkan kepada generasi akan datang.

    “Ia sekali gus memastikan bidang keusahawanan terus menjadi pilihan, terutama buat generasi muda,” katanya yang turut menubuhkan sebuah pusat latihan bagi merealisasikan hasratnya itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...