Penternak kerang harungi arus Pandemik

PORTLAND, MAINE – Untuk penternak kima komersial yang semakin lenyap di New England, pandemik koronavirus hanya melambangkan halangan terbaharu dalam beberapa siri rintangan yang telah menjejas industri berusia beberapa abad itu.

Pengorek kima, yang menggali dan mengeluarkan kima berkulit lembut untuk digunakan dalam cowder dan barbeku kima daripada lumpur, telah menempuh dan berjaya mengatasi tenaga kerja berusia, pemangsa yang tidak henti-henti memakan kerang-kerangan, perairan panas dan pasaran yang tidak menentu.

Pandemik pada musim panas ini telah menghalang beberapa pencari kima daripada menjalankan perniagaan mereka di kawasan pantai tempat kima hidup yang telah menyalurkan bekalan kepada pelanggan mereka selama beberapa generasi, kata anggota industri.

Pembeli telah memberikan ganjaran kepada penggali kima dengan harga yang jauh lebih baik daripada kebanyakan sektor dalam industri makanan laut yang terjejas teruk, yang sekali gus memberi kesan besar kepada ekonomi. Namun beberapa pencari kima berkata gangguan yang dicetuskan oleh pandemik masih belum menimbulkan satu lagi masalah baharu untuk diatasi.

“Sekiranya mereka menutup sempadan sekarang, seperti yang dilakukan oleh mereka sebelum ini, kami akan menghadapi masalah besar. Kami bergantung pada perkapalan,” kata Wendell Cressey, pancari kima Harpswell, Maine.

Mike Soule mengorek untuk mencari kima di kawasan lumpur di Freeport, Maine pada 4 September 2020. – AP

Angsa Kanada terbang tatkala Mike Soule menggali untuk mencari kima di satu kawasan berlumpur di Freeport, Maine. – AP

“Bukan sahaja kami memerlukan pelancong yang mampu datang ke sini dan melawat, tetapi kami perlu berupaya membawa mereka berkunjung di seluruh negara.”

Industri Amerika untuk penternakan kima berkulit lembut, juga dipanggil ‘steamers’, adalah terletak hampir keseluruhannya di Maine dan Massachusetts.

Kedua-dua negeri itu telah melihat hasil tangkapan merosot dalam beberapa tahun ini.

Pencari kima Maine telah gagal menghasilkan daging kima berjumlah 1.6 juta paun untuk empat tahun berturut-turut selepas mengumpul dua atau tiga kali lebih daripada jumlah tersebut dalam dekad-dekad sebelumnya.

Kima bernilai kira-kira AS$2 setiap paun di limbungan dalam tahun-tahun apabila hasil tangkapan adalah bagus, dan mereka hampir mencecah jumlah tersebut pada tahun ini, kata Clint Goodenow, bendahari Persatuan Pencari Kima Maine.

Harga merosot pada musim bunga, apabila rangkaian bekalan makanan laut terjejas teruk di seluruh negara disebabkan peringkat awal pandemik meletus, tetapi telah berpulih semula selepas itu, menurut Goodenow.

Adalah sukar untuk berkata sama ada hasil pada tahun ini akan setanding dengan tahun-tahun kebelakangan ini, tetapi pencari kima masih mengusahakan kawasan kima setiap hari, kata Chad Coffin, presiden persatuan pencari kima. Masalah yang dihadapi adalah jumlah pengumpul cari kima telah berkurangan mendadak.

Negeri itu mempunyai 1,436 pengumpul kerang-kerangan berlesen pada tahun ini, merosot daripada lebih 1,700 pada tahun sebelumnya dan sebahagian kecil daripada jumlah yang mengorek kima pada 1970, menurut rekod kerajaan negeri.

Terdapat juga kima yang berkurangan di kawasan berlumpur tempat kima tinggal. Pertambahan pemangsa seperti ketam hijau telah menghambat keupayaan kerang-kerangan untuk membesar, menurut ahli sains. Berbanding dengan masalah yang dihadapi, pandemik hanya merupakan sebahagian kecil halangan yang timbul, kata Coffin.

“Secara tiba-tiba, segala perbualan menjurus ke arah kesan pandemik,” kata Coffin. “Untuk orang yang bekerja mencari kima yang masih tinggal, tahun ini bukan tahun yang dikatakan amat teruk.”

Ciri-ciri memungut kima menjadikannya agak senang untuk dilakukan sementara mengamalkan penjarakan sosial.

Penggali kima, ada kalanya bekerja sendirian, menggali dalam lumpur menggunakan pencakar dan mengutip kima untuk dijual kepada peniaga makanan laut.

Industri perikanan itu juga tidak memerlukan bot dan peralatan mahal yang telah menghalang sesetengah penternak udang kara dan nelayan ikan perairan dalam daripada menjual hasil mereka semasa pandemik.

Jumlah penternak kima yang berkurangan bermakna kerang-kerangan masih cukup untuk menampung sara hidup pencari kima yang tinggal dalam industri tersebut, kata Brian Beal, profesor ekologi marin di Universiti Maine di Machias. – AP