Sunday, November 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penternak manfaat air dari gunung usaha ternakan keli

    JERTEH – Lokasi ladang sawit yang terletak hanya 4.5 kilometer dari kawasan gunung, mencetuskan idea seorang peneroka di Felda Selasih di sini untuk mengusahakan ternakan keli menggunakan air dari tanah tinggi sebagai sumber aliran ke sangkar ikannya.

    Mukhtar Ismail, 64, berkata penggunaan air gunung itu ternyata sangat istimewa kerana maklum balas daripada pelanggan mengatakan rasa ikan kelinya lebih pejal dan manis malah ia tidak berbau hanyir seperti keli yang diternak di kolam biasa.

    Menurut beliau lazimnya, peneroka di Felda menjadikan ladang sawit mereka sebagai lokasi menternak haiwan seperti lembu dan kambing untuk menjana pendapatan tambahan namun beliau memilih untuk menternak keli kerana ia mudah dijaga, tahan lasak dan sentiasa mendapat permintaan tinggi.

    “Kebetulan juga, ladang sawit saya ini ada alur anak sungai, jadi bermodalkan wang simpanan sebanyak RM5,000 pada 2014, saya mulakan projek mendalamkan lagi alur itu untuk dijadikan sangkar ikan yang dapat menakung air dari Gunung Tebu.

    “Air gunung sangat sesuai untuk ikan keli kerana ia lebih bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran. Saluran air ini disediakan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kerana ada juga kebun sayur berdekatan yang guna air gunung untuk tanaman,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Mukhtar Ismail menunjukkan ikan keli berusia lebih sebulan yang diternaknya di ladang kelapa sawit di Felda Selasih. – Bernama

    Bapa kepada sembilan anak itu memiliki lebih 11,000 ekor keli yang diternak dalam satu masa dan setiap tahun, Mukhtar mampu menuai keli dewasa sebanyak tiga atau empat kali bergantung kepada faktor bekalan benih keli dan cuaca.

    Menurutnya, ikan keli segar dijual pada harga RM7 sekilogram, manakala RM8 dikenakan untuk yang ikan siap disiang dan dijual secara borong kepada pengusaha restoran dan kedai makan di sekitar daerah itu, dan daripada perusahaannya, beliau mampu meraih pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

    Bagi menjaga kualiti keli diternak, Mukhtar berkata beliau menggunakan perut ayam atau lembu yang direbus untuk makanan ikan ternakannya dan bukan dedak biasa dijual di pasaran.

    “Ini juga antara faktor membezakan kualiti rasanya berbanding keli lain, memang agak penat dan leceh kerana proses merebus perut ayam dan lembu perlukan masa agak lama, namun semua itu hilang selepas pelanggan beritahu mereka sangat berselera menikmati keli yang dibeli,” katanya.

    Keunikan sangkar ikan menggunakan sepenuhnya air gunung itu turut menarik perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Azman Ibrahim yang melawat ladang itu baru-baru ini, dan memberi persetujuan awal untuk menyalurkan bantuan sesuai dari semasa ke semasa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda