Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Penternakan lembu hibrid mampu kurangkan kebergantungan terhadap daging import

    KANGAR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis (JPV) berharap kejayaan program Pengukuhan Sumber Genetik lembu hibrid di negeri ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap daging import pada masa akan datang.

    Pengarah JPV Perlis Dr Adam Abdullah Kwan berkata pihaknya menjangkakan pengeluaran daging lembu tempatan di negeri ini akan meningkat sebanyak  lima hingga 10 peratus setahun bergantung kepada permintaan semasa.

    “Kita jangka sebanyak 600 tan daging lembu dapat dikeluarkan tahun ini dan jumlah pengeluaran akan bertambah sebanyak 10 peratus iaitu kepada 630 hingga 660 tan pada tahun hadapan,” katanya  kepada pemberita ketika lawatan ke kandang ternakan lembu hibrid di Kampung Santan baru-baru ini.

    Beliau berkata lembu hibrid lebih menguntungkan penternak berbanding menternak lembu baka tempatan kerana proses pembesaranya adalah lebih cepat.

    “Dalam masa setahun sahaja berat lembu hibrid dapat mencapai berat 400 hingga 500 kilogram (kg) dan 800 hingga 900 kilogram (kg) bagi tempoh dua tahun. 

    Lembu hibrid lebih menguntungkan penternak berbanding menternak lembu baka tempatan kerana proses pembesaranya adalah lebih cepat di mana dalam masa setahun sahaja berat lembu hibrid dapat mencapai berat 400 hingga 500kg dan 800 hingga 900kg bagi tempoh dua tahun.

    “Ia sudah pasti dapat memberi pulangan menguntungkan kepada penternak apabila lembu tersebut dapat dijual antara RM5,000 hingga RM10,000 seekor berbanding lembu baka tempatan yang dijual pada harga sekitar RM3,000 hingga RM5,000 seekor,” katanya.

    Adam berkata sehingga 2020 sebanyak 1,500 ekor lembu hibrid telah dihasilkan dan dianggarkan jumlah tersebut akan meningkat sekali ganda kepada 3,000 ekor pada tahun ini melibat 300 orang penternak.

    Beliau berkata antara baka lembu hibrid yang mendapat sambutan daripada penternak di negeri ini adalah lembu baka Charolais, Limousine, Piedmontese dan Simmental dengan induk lembu baka tempatan Brahman atau Kedah-Kelantan (KK). Katanya, berbanding hasil pertanian lain, harga jualan daging lembu adalah lebih stabil dan penternak tidak perlu risau untuk membuat pelaburan kerana ia mampu memberi jaminan pulangan yang menguntungkan.

    “Kita bercadang untuk meningkatkan kecekapan industri ini dengan membangunkan pusat gedung makanan ternakan Perlis bagi membantu mengurangkan kos ternakan ruminan serta saya galakkan semua penternak di Perlis untuk menyertai Persatuan Penternak Ruminan Perlis untuk bekerja dengan lebih erat,” katanya. 

    Seorang penternak lembu hibrid Che Azman Che Norohoseni, 42, berkata hasil pendapatannya meningkat sebanyak 50 peratus semenjak mula menternak lembu hibrid sepuluh tahun lepas.

    “Saya tidak menyesal bertukar menternak lembu baka tempatan kepada lembu hibrid kerana ia sangat menguntungkan dan kalau ada rezeki saya akan terus menambah baka,” katanya yang kini menternak 46 ekor lembu hibrid  di Kampung Semadong, Beseri.

    Turut berkongsi pengalaman, Ismail Ahmad, 61, berkata menternak lembu hibrid tidak mengambil masa lama berbanding lembu baka tempatan.

    Katanya, dalam masa singkat iaitu tiga hingga empat tahun, lembu telah boleh dijual pada harga RM10,000 ke atas.

    “Lembu hibrid paling besar yang saya ternak, pernah mencapai berat satu tan dan memang seronok apabila dapat melihat lembu yang gemuk,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...