Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Dengan hasrat untuk menanam semangat patriotik dan menyemai rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara di kalangan golongan muda khususnya penuntut melalui lagu kebangsaan dan bendera negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, mengadakan Program Taklimat Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Program yang diadakan di Dewan Serba Guna, Sekolah Menengah Lambak Kiri itu mengetengahkan mengenai Raja Kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.
Seramai 147 orang pelajar Tahun 7 sekolah berkenaan telah menghadiri taklimat tersebut serta Pengetua Sekolah, Hajah Sarifah binti Haji Matsawali, guru-guru, pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.
Pada program tersebut, taklimat disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Awang Mohammad Nurakram bin Noraini @ Bahrin di mana beliau menjelaskan mengenai sejarah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.


Semasa taklimat itu, para pelajar juga berpeluang untuk menyaksikan klip video, Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara, Semarak Pengibaran Bendera Negara dan video animasi, Tatacara Menaikkan Bendera Negara serta klip video aplikasi mudah alih, InfoDeptBN.
Para pelajar juga berpeluang untuk menyertai Kuiz Kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan. Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang berjaya menjawab kuiz tersebut.
Program itu merupakan usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai semangat patriotisme pelajar-pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.