Friday, December 1, 2023
24.9 C
Brunei

    -

    Penting tingkatkan kesedaran pertolongan cemas

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Kementerian Kesihatan mempunyai matlamat untuk mencapai sasaran sehingga 50 peratus penduduk Negara Brunei Darussalam mempunyai latihan asas mengenai pertolongan cemas dan cardiopulmonary resuscitation (CPR) menjelang wawasan 2035.

    “Ini boleh menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih bersiap siaga dalam memberikan pertolongan cemas dan CPR.”

    Harapan itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Majlis Penyampaian Sijil bagi Peserta-peserta Latihan Pertolongan Cemas dan CPR yang berlangsung di Rumah Panjang Kampung Amo dan Rumah Panjang Kampung Semabat, Daerah Temburong, hari ini.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiusaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    Yang Berhormat Dato turut menyatakan bahawa kementeriannya menggalakkan semua organisasi dan penyedia kursus-kursus latihan pertolongan cemas dan CPR supaya tampil ke hadapan dan bekerjasama dalam mempromosikan kesedaran dan latihan berkenaan di negara ini.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham serta jemputan yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Latihan dalam pertolongan cemas dan CPR, tambahnya, merupakan satu latihan asas yang sangat berguna dan tinggi manfaatnya yang perlu diterapkan dan diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

    Latihan seperti ini boleh meningkatkan kemahiran serta keyakinan orang awam untuk memberikan pertolongan cemas yang betul dan berkesan dengan serta-merta kepada mereka yang memerlukan.

    Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan beberapa aktiviti Community Outreach sebagai salah satu kaedah untuk menyampaikan kesedaran tentang kepentingan memiliki pengetahuan dan kemahiran dalam pertolongan cemas dan CPR, khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman di mana perkhidmatan kecemasan tidak dapat dicapai dengan segera.

    Beliau turut menyatakan bahawa kementeriannya telah mengenal pasti kepentingan latihan pertolongan cemas dan CPR di mana kursus-kursus latihan seperti itu aktif dijalankan oleh tenaga pengajar di bawah Jawatankuasa Latihan Kementerian Kesihatan, yang berkelayakan dan bertauliah untuk memberikan latihan kemahiran melalui pemudahcaraan dan penyelarasan oleh Unit Perkembangan dan Pemantauan Resusitasi (RDMU).

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham telah menyempurnakan penyampaian beg pertolongan cemas, alat Automated External Defibrillator (AED) serta risalah-risalah kesihatan kepada Ketua Kampung Amo, Hujan anak Muit dan Pemangku Ketua Kampung Lepong Baru, Ambol anak Bakit.

    Yang Berhormat Dato serta rombongan turut membuat lawatan kerja di Rumah Panjang Kampung Amo B dan Rumah Panjang Kampung Semabat.

    Pada penghujung lawatan, penduduk kampung-kampung berkenaan yang telah menyertai Latihan Pertolongan Cemas dan CPR turut menunjukkan apa yang telah mereka pelajari dalam satu siri demonstrasi mengenai prosedur-prosedur CPR dan bantuan pertolongan cemas.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Reaktor gabungan nuklear eksperimen Jepun dirasmikan

    TOKYO, 1 DIS - Reaktor gabungan nuklear eksperimen terbesar di dunia yang sedang beroperasi dirasmikan di Jepun hari ini, sebuah teknologi pada peringkat awal...