Pentingnya jaga penglihatan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 9 OKT – Bersempena Hari Penglihatan Sedunia yang diraikan setiap 10 Oktober, Lions Club Belait telah menjayakan Projek Penglihatan di Sekolah Chung Hwa di Labi.

Rombongan tersebut, yang disertai oleh tujuh orang ahli, diketuai oleh Presiden Lions Club Belait, Joseph Teo dan telah menjalankan beberapa pemeriksaan penglihatan kepada para murid di sekolah tersebut.

Daripada keseluruhan 10 murid yang diperiksa, empat murid memerlukan preskripsi kaca mata, yang ditaja oleh Visioncare, Kuala Belait.

Dengan pemeriksaan awal berjaya dilakukan, rombongan dari Lions Club Belait akan kembali lagi ke sekolah tersebut pada satu tarikh yang ditetapkan bagi menyerahkan preskripsi kaca mata kepada para murid.

Aktiviti tersebut bukan saja bertujuan untuk memeriksa penglihatan murid-murid bahkan juga untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga penglihatan seseorang itu.

Joseph Teo ketika menjalankan beberapa pemeriksaan penglihatan ke atas murid-murid. – Gambar oleh Lions Club Belait