Pentingnya menderma darah Ramadan ini

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 15 Mei – Kepentingan kempen mender-ma darah tidak boleh dipandang ringan, terutamanya dalam bulan Ramadan apabila tidak ramai penderma darah
dapat menderma darah.

Pihak media telah membuat susulan mengenai permintaan tular yang disebarkan dalam media sosial tentang seorang pesakit perempuan yang memerlukan jenis darah khusus disebabkan masalah kesihatan di Daerah Belait.

Menurut Pusat Pendermaan Darah, lebih daripada 98 peratus penderma darah di seluruh negara mempunyai darah jenis Rhesus (Rh) positif dan jenis darah yang diperlukan oleh pesakit wanita berkenaan adalah Rh negatif, khususnya, Kumpulan Darah A dan O Rh negatif atau A dan O negatif, yang jarang di negara ini.

Malah, di rantau Asia hanya terdapat 0.3 peratus orang yang mempunyai darah Rh negatif berbanding penduduk Eropah dengan 15 peratus.

Bagaimanapun, Pusat Pendermaan Darah menggesa dan menggalakkan para penderma darah meluangkan masa mendaftar dengan pusat berkenaan untuk menderma darah, tanpa mengira jenis darah, kerana darah sentiasa diperlukan bagi mereka yang memerlukannya di seluruh negara.

Penduduk di Daerah Belait yang ingin mengetahui lebih lanjut dan mendaftar untuk menderma darah boleh mengunjungi Unit Pendermaan Darah, Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait semasa waktu pejabat.

Salah seorang penderma darah di Hospital SSB, Kuala Belait.