Pentingnya teknik ikatan ringkas, pantas dan kuat

Oleh Raz AS

Teknik ikatan ringkas dan pantas adalah salah satu kemahiran yang perlu dimiliki oleh seorang pemancing. Setiap pemancing yang berpengalaman sedar akan kepentingan untuk mengetahui teknik ikatan yang boleh dihasilkan dengan pantas namun masih menjanjikan kekuatan ikatan yang boleh dipercayai.

Pemancing-pemancing tegar sangat mengenal erti peribahasa ‘masa itu emas’. Kita tidak mahu masa yang berharga ketika berada di padang pancing terbuang begitu sahaja akibat sibuk membuat ikatan yang rumit dan memakan masa setiap kali ingin menukar peralatan terminal seperti lure, kili-kili atau mata kail, ataupun menyambung peralatan terminal baharu kerana terputus akibat melawan ikan atau sangkut.

Mengetahui dan menguasai teknik-teknik ikatan ringkas dan pantas sangat penting kepada setiap pemancing terutama pada waktu-waktu ketika pemancing hanya memiliki masa untuk memancing yang terhad, contohnya ketika menyertai kejohanan memancing atau semasa mencuri-curi masa turun memancing sekejap untuk membuang ‘gian’.

Bukan itu sahaja, ketika ikan sedang galak makan pastinya setiap pemancing tidak mahu berlengah-lengah dan seterusnya terlepas peluang keemasan tersebut yang, siapa tahu, mungkin akan berhenti pada bila-bila masa.

Namun dalam mengejar kepantasan, tidak bermakna pemancing harus mengorbankan kekuatan ikatan sehingga mengakibatkan pemancing berputih mata terutama sekali apabila ikan yang bersaiz besar tiba-tiba memakan umpan yang dihulurkan.

Untuk hal yang demikian, ikatan Palomar adalah salah satu teknik ikatan pantas dan ringkas yang boleh dihasilkan dalam sekelip mata serta menjanjikan kekuatan yang boleh dipercayai. Teknik ikatan yang popular di kalangan pemancing di seluruh dunia ini digunakan untuk mengikat tali pancing atau perambut ke mata kail, kili-kili (swivel) atau lure.

Kaedah mengikat ikatan Palomar sangat mudah dikuasai oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira tahap kemahiran dan pengalaman masing-masing, sama ada bagi pemancing lama mahupun baharu.

Untuk membuat ikatan ini langkah pertama yang perlu dibuat adalah untuk melipatkan tali pancing, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam lubang mata kail, kili-kili atau lure yang hendak diikat.

Setelah itu buatkan simpulan biasa dan masukkan mata kail, kili-kili atau lure ke dalam bulatan yang terhasil daripada lipatan tali. Basahkan tali dan kemudian tarik hujung tali dan pangkal tali pada arah yang sama untuk mengencangkan ikatan. Potongkan lebihan tali untuk mengemaskannya. Mudahkan.

Ikatan Palomar adalah salah satu teknik ikatan pantas, ringkas dan kuat yang boleh dihasilkan dalam sekelip mata. – Agensi