Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penubuhan CSB pantau keselamatan siber

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof mengatakan impak COVID-19 bukan saja telah mempercepatkan lagi transformasi digital di seluruh dunia, malah permintaan terhadap platform, perkhidmatan dan sambungan digital amat diperlukan bagi memenuhi keperluan penting seperti pendidikan dalam talian dan bekerja dari rumah.

    Lonjakan permintaan jalur lebar tetap dan penggunaan lebar jalur turut dialami oleh negara, di mana setakat Julai tahun ini, permintaan bagi kedua-duanya telah meningkat sebanyak 32 dan 52 peratus.

    Atas perkembangan itulah, keselamatan siber turut menjadi barisan penting dalam menangani aktiviti-aktiviti penipuan dan ancaman pelaku-pelaku yang tidak bertanggungjawab melancarkan serangan dan gangguan terhadap perkhidmatan dan sistem penting, ujar beliau semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran InnoConnect yang diadakan di Ibu Pejabat DST, hari ini.

    Yang Berhormat Dato turut menyentuh mengenai persidangan maya Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) baru-baru ini, yang mana, kerjasama dalam keselamatan siber dalam ASEAN juga dikukuhkan untuk meningkat lagi kesiap sediaan dan kemampuan dalam keamanan siber.

    Sejajar dengan perkembangan serantau dan antarabangsa itu, Negara Brunei Darussalam juga, menurutnya, menerapkan dasar dan inisiatif untuk kesediaan menanganinya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib ketika berucap pada Majlis Pelancaran InnoConnect di Ibu Pejabat DST.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bersama Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni serta para jemputan khas lainnya pada Majlis Pelancaran InnoConnect di Ibu Pejabat DST.

    “Dengan ini, saya berbesar hati mengongsikan dengan anda bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Cyber ​​Security Brunei (CSB) sebagai agensi keselamatan siber kebangsaan untuk Negara Brunei Darussalam yang telah memulakan operasinya pada 1 Ogos tahun ini,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan CSB berfungsi sebagai agensi yang memantau dan menyelaraskan usaha negara dalam menangani ancaman keselamatan siber dan juga jenayah siber.

    Melalui CSB, strategi, dasar dan kerangka kerja yang mengatur ‘Cybersecurity’ dirumuskan dan dilaksanakan dengan Infrastruktur Maklumat Kritikal (CII) yang relevan sebagai unsur utama.

    “Pembentukan CSB tepat pada masanya sebagai salah satu pemboleh strategi utama dalam perjalanan transformasi digital kami ke arah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara pintar.

    “Dengan visi memastikan ruang siber yang selamat dan berdaya tahan untuk negara, CSB kini melaksanakan tiga perkhidmatan utama, iaitu BruCERT (Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei), Makmal Forensik Digital Kebangsaan dan Pusat Pengawasan Siber (CWC).”

    Dalam ucapannya, beliau juga ada mengumumkan bahawa laman sesawang rasmi CSB disiarkan secara langsung petang hari ini, dan mengalu-alukan orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai CSB dengan melayari www.csb.gov.bn.

    “Kini setelah kita mempunyai CSB sebagai agensi barisan hadapan untuk ruang siber yang lebih selamat, saya harap ia akan mendorong lebih banyak agensi, organisasi dan pengguna untuk tampil dengan lebih banyak inovasi dan terlibat dalam inisiatif ekonomi digital dengan lebih yakin,” kongsinya.

    Yang Berhormat Dato berharap ia dapat meningkatkan minat belia negara untuk menceburkan diri dalam kerjaya sebagai pakar dan profesional keselamatan siber, menjadikan transformasi digital negara lebih cergas dan mampan.

    Dengan pelancaran perkhidmatan InnoConnect hari ini, beliau berasa gembira dapat melihat pendekatan ‘Whole of Nation’ yang digunakan, menjadikan transformasi digital di Negara Brunei Darussalam lebih jauh.

    “Saya difahamkan bahawa perkhidmatan InnoConnect, yang diperkenalkan oleh DST, adalah platform yang menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan dan memungkinkan peluang perkongsian untuk penciptaan produk dan perkhidmatan bersama dengan DST.

    “Ini memang merupakan inisiatif yang sangat menggalakkan yang menyokong sepenuhnya Pelan Induk Ekonomi Digital 2025. Jelas terdapat penyelarasan kuat perkhidmatan DST InnoConnect dengan Pelan Induk tersebut, terutama mengenai perlunya platform negara pintar yang sangat penting untuk menyokong penyampaian perkhidmatan yang lancar di antara agensi kerajaan, perniagaan dan warga negara.

    “Tahniah saya ucapkan kepada DST atas inisiatif ini, dan terima kasih kerana menjadikan saya sebahagian daripada perjalanan ini!” katanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda