Monday, August 15, 2022
23 C
Brunei

Penuhi keperluan pertahanan negara

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Buat julung kalinya, Persidangan Sains dan Teknologi Pertahanan Negara Brunei Darussalam (B-SCI) 2022 yang diadakan oleh Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Sains dan Teknologi (P3ST) dilancarkan di Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB), Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Persidangan yang membawa tema Defence Science and Technology Innovation for Future Sustainment itu berlangsung selama dua hari hingga esok, dengan perasmiannya disempurnakan oleh wakil Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir iaitu Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Pengiran Dr Haji Mohd Esa Al-Islam bin Pengiran Haji Mohd Yunus.

Turut hadir ialah raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), setiausaha-setiausaha tetap, pemerintah-pemerintah angkatan tentera dan angkatan bersama, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua pegawai eksekutif, para pengarah, komandan dan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan, institusi tempatan dan sektor swasta.

Hari pertama persidangan menyaksikan pembentangan ucaptama bertajuk Leveraging on Regional Partnerships to Advance Science Technology Innovation (STI) Development & Adoption to Support Future Defence Capability Sustainment oleh Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Malaysia, Dr Hajah Zalini Yunus.

Persidangan diteruskan dengan sesi forum secara maya mengenai Defence S&T Policies Towards Defence Capability Sustainment and Collaboration between Government, Industry and Academia yang disertai oleh panel yang terdiri daripada Chief Counsel-Commercial, Jabatan Pertahanan Australia, Fransesca Rush; Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA), Singapura, Roy Chan dan Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

Persidangan itu bermatlamat untuk menggalakkan komuniti dan rangkaian profesional penyelidik, saintis dan jurutera untuk memenuhi keperluan pertahanan dan keselamatan Negara Brunei Darussalam melalui pertukaran idea, pengetahuan dan penyelidikan terkini, memupuk kerjasama di antara para profesional dan pakar dari universiti, institusi penyelidikan, jabatan-jabatan kerajaan dan industri tempatan dan antarabangsa serta menyatupadukan penyelidik, jurutera dan pakar teknologi dalam menubuhkan kumpulan profesional sains dan teknologi pertahanan kolaboratif.

Pengiran Dr Haji Mohd Esa Al-Islam menyempurnakan perasmian B-SCI 2022 pada majlis yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, Kampung Tanah Jambu, kelmarin.
Antara yang menghadiri persidangan B-SCI 2022 berkenaan.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Lelaki lepas 5 das tembakan di lapangan terbang ditahan

SYDNEY, 14 OGOS – Seorang lelaki bersenjata melepaskan lima das tembakan di lapangan terbang utama Canberra hari ini, menyebabkan penumpang melarikan diri tetapi tidak...
- Advertisment -