Penularan COVID-19 di Palestin ‘semakin buruk’

RAMALLAH, 19 OGOS – Pegawai kesihatan Palestin semalam memberi amaran bahawa situasi epidemiologi akibat COVID-19 di wilayah Palestin ‘semakin buruk.’

Pengarah hospital Palestin di Kementerian Kesihatan, Naji Nazzal dalam satu kenyataan berkata keadaan kian parah akibat jumlah pesakit yang memerlukan rawatan di hospital semakin meningkat.

“Sejak beberapa minggu lalu, jumlah kes telah menunjukkan trend penurunan tetapi kes kembali meningkat selepas varian Delta dikesan di wilayah Palestin,” katanya. 

Oleh itu, Kementerian Kesihatan bersiap siaga dengan membuka pusat perubatan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Nazzal turut menggesa rakyat Palestin di kawasan terjejas segera mendapatkan suntikan vaksin.

Seorang pegawai Palestin pada Ahad berkata, 70 peratus kes jangkitan COVID-19 di wilayah Palestin adalah disebabkan varian Delta.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan semalam melaporkan dua kematian akibat COVID-19 di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dan 753 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam. – Bernama

Seorang pekerja kesihatan menjalankan ujian swab ke atas seorang budak di sebuah klinik di Bandar Ramallah di Tebing Barat kelmarin. – AFP