Penularan Delta atasi varian lain

GENEVA, 22 SEPT – Varian COVID-19 Delta berjaya mengatasi penyebaran tiga lagi varian membimbangkan (VOC), yang kini hanya sebilangan kecil ditemui ketika proses penjujukan.

Ketua bahagian teknikal COVID-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Maria Van Kerkhove berkata Delta sudah menyisihkan hampir kesemua VOC lain di seluruh dunia.

“Kurang daripada satu peratus masing-masing bagi Alpha, Beta dan Gamma sedang tersebar pada masa ini, majoriti varian yang tersebar luas di seluruh dunia kini adalah dari jenis Delta.

“Delta kini lebih kuat lagi merbahaya kerana ia amat pantas tersebar dan tidak bersaing dengan mana-mana virus yang sedang tersebar.

“Setakat ini, Delta dikesan di lebih 185 buah negara di seluruh dunia,” katanya dalam sesi interaksi secara langsung di media sosial.

Pada penghujung tahun lalu, kemunculan pelbagai varian yang mengundang risiko terhadap kesihatan masyarakat global mendorong WHO mula mengasingkannya mengikut kategori.

WHO mengasingkan koronavirus mengikut varian berkepentingan (VOI) dan yang lebih merbahaya iaitu varian membimbangkan (VOC).

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan untuk menamakan varian berdasarkan huruf Yunani untuk mengelak stigma membabitkan negara di mana varian tertentu pertama kali dikesan.

Selain empat VOC yang disenaraikan, terdapat lima VOI, namun Van Kerkhove berkata tiga daripadanya iaitu Eta, Iota dan Kappa, telah diturunkan ke taraf lebih rendah iaitu varian dalam pemantauan. – AFP