Penularan Ebola belum berakhir

KINSHASA, 13 Jun – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom semalam menggesa pemantauan lebih ketat dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo, mengatakan penularan wabak itu belum berakhir walaupun setakat ini tiada kes terbaharu dilaporkan di negara itu.

Wabak itu sudah meragut nyawa 27 mangsa di DR Congo dan ia adalah yang kesembilan berlaku di negara itu, sejak tahun 1976.

“Berdasarkan statistik, apa yang boleh kami katakan ialah situasi sudah kembali stabil tetapi ‘perang’ masih belum tamat, jadi kita perlu terus berjaga-jaga dan memantau keadaan,” katanya selepas menamatkan lawatan tiga hari ke Congo.

“Satu lagi kes dilaporkan di kawasan bandar boleh mencetuskan kembali wabak tersebut,” tegasnya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas WHO dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memulakan imunisasi terhadap pekerja barisan hadapan sejak 21 Mei lalu, menggunakan vaksin yang sebelum ini menunjukkan keberkesanan dalam sesi ujian awal. Bagaimanapun, vaksin itu masih menunggu kelulusan pihak berkuasa.

Ketua WHO berkata, setakat ini lebih 2,000 individu di wilayah Equateur yang dilanda Ebola sudah menerima suntikan vaksin.

Di Mbandaka, sebuah bandar raya yang merupakan kediaman bagi 1.2 juta orang, ‘tidak ada sebarang kes baharu yang dilaporkan sejak 12 Mei lalu’, katanya, sambil menambah bahawa tiada kes baharu sejak 13 Mei di Bikoro, kira-kira 100 kilometer jauhnya dari tempat wabak itu pertama kali dikesan.

Khamis lepas, WHO menyatakan sejumlah 59 kes yang disahkan, berkemungkinan dan disyaki terkena wabak Ebola, di mana 27 orang telah meninggal dunia dengan satu kes baharu yang disahkan pada 6 Jun lalu. – AFP

Tedros Adhanom mencuci tangannya sebelum melawat ke pusat rawatan Ebola di Itipo, Kinshasa. – AFP