Penulis biografi dedah Harry, William tak bertegur sapa

Penulis buku biografi diraja Finding Freedom, Omid Scobie mendedahkan Putera Harry dengan abangnya, Putera Williams sudah tidak berhubung antara satu sama lain sejak berbulan lamanya.

Menerusi satu wawancara True Royalty TV, Scobie berkata dia percaya hubungan dingin tersebut akan memakan masa yang lama untuk pulih.

Menurutnya, punca kepada keretakan tersebut adalah disebabkan tindakan Harry dan isterinya, Meghan Markle yang mengumumkan ‘pengunduran’ mereka daripada keluarga diraja menerusi Instagram.

Ujarnya, William terlalu marah setelah Harry dan Meghan secara terbuka mengumumkan keputusan mereka kepada umum.

Pasangan Duke dan Duchess of Sussex itu dilaporkan membuat kenyataan tersebut tanpa pengetahuan keluarga mereka.

Scobie turut mendedahkan hubungan antara Meghan dan birasnya, Kate Middleton juga tidak begitu baik.

Ada dakwaan mengatakan ketegangan hubungan antara pasangan Sussex dan Cambridge itu bermula lebih awal sebelum Harry dan Meghan mengumumkan rancangan untuk undur daripada keluarga diraja pada Januari lalu. – Agensi

Hubungan antara pasangan Sussex dan Cambridge dingin sejak berbulan lamanya. – Agensi