Penulis muda pelapis generasi masa depan sastera

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Dalam usaha melahirkan lebih ramai penulis muda yang berbakat dalam penulisan sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah mengadakan Program Penulis Muda 2020 bagi Bengkel Penulisan Sajak.

Program diadakan di Balai Sarmayuda DBP, Lapangan Terbang Lama Berakas di mana ia berlangsung bermula hari ini sehingga 16 September.

Bengkel selama tiga hari itu dibimbing oleh Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin yang antara lain menyentuh mengenai asas penulisan sajak, sumber sajak dan ilham dan proses penulisan kreatif secara individu. Dengan adanya bengkel itu, ia dapat membentuk penulis muda sebagai pelapis dan penerus yang mampu menghasilkan karya sastera sepanjang masa di samping melahirkan ramai penulis muda yang berpotensi untuk meraih pelbagai anugerah sastera dan menjadi aktivis sastera pada masa hadapan.

Program penulis muda itu merupakan projek tahunan DBP melalui Bahagian Sastera dan Majalah bagi mewujudkan sumber manusia dan mampu menambah jumlah penulis generasi baharu tanah air yang berbakat dan berpotensi dengan imej yang lebih dinamik, agresif dan kreatif.

Antara peserta yang menyertai Bengkel Penulisan Sajak di Balai Sarmayuda, DBP.