Penumpang kapal Costa Deliziosa dibenarkan turun

BARCELONA, 20 APRIL – Selepas lima minggu tanpa menjejaki kaki di darat disebabkan sekatan koronavirus, seramai 168 penumpang dari kapal persiaran mewah Itali turun di Barcelona hari ini, mengakhiri perjalanan dunia yang amat luar biasa itu.

Sejak kapal persiaran mewah itu bertolak pada 5 Januari dari bandar utara Itali Venice untuk pelayaran di seluruh dunia, tidak ada satu kes koronavirus yang ditemui dalam kapal.

Dengan kira-kira 1,800 penumpang, kapal Costa Deliziosa berlabuh pada awal hari ini untuk membenarkan penumpang Sepanyol turun sebelum pulang ke Itali.

Kapal sepanjang 300 meter itu memasuki pelabuhan selepas menerima kebenaran dari Madrid, beberapa hari selepas pegawai Perancis enggan membenarkannya menurunkan kira-kira 460 penumpang di selatan pelabuhan Marseille.

“Bot telah tiba. Kesemua warga Sepanyol telah turun dan sedang dalam perjalanan pulang,” kata jurucakap untuk pemilik kapal Costa Cruises.

Mereka yang dibenarkan turun dalam kumpulan kecil dibawa dengan bas ke pusat bandar, kata wartawan AFP yang menyaksikan ketibaan kapal.

Costa Deliziosa kini sedang menuju ke pelabuhan di utara Itali Genoa di mana ia akan berlabuh pada 22 April dan di mana semua penumpang yang tinggal dan hampir 900 anggota kru akan turun, kata kenyataan Costa. – AFP

Kapal Costa Deliziosa berlabuh di pelabuhan Barcelona awal kelmarin. – AFP