Penumpang kapal persiaran terkandas dipindahkan

MONTEVIDEO, 8 APRIL – Uruguay semalam memaklumkan bahawa pihaknya telah membenarkan satu penerbangan kemanusiaan bagi memindahkan penumpang warga Australia dan New Zealand yang terkandas dalam sebuah kapal persiaran terjejas dengan wabak COVID-19.

Kira-kira 128 daripada 217 orang di atas kapal Greg Mortimer milik Australia, termasuk penumpang dan kru, disahkan positif virus itu. Enam daripada mereka, tiga warga Australia, Filipina (dua) dan Britain (seorang), telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di ibu negara Montevideo.

Ia merupakan perkembangan terkini melanda industri kapal persiaran global di mana kapal dihalang berlabuh selepas mencatatkan kes jangkitan disahkan ketika pandemik COVID-19.

Pemilik kapal persiaran itu, Aurore Expeditions, telah ‘menempah sebuah pesawat perubatan… bagi membawa pulang penumpang warga Australia dan New Zealand,’ kata Kementerian Luar Uruguay sambil menambah bahawa pesawat terbabit diberi kebenaran untuk mendarat esok.

Menurut Aurore, kira-kira 100 warga Australia berada di atas kapal berkenaan, dan rundingan sedang dijalankan bagi membolehkan penumpang New Zealand turut menaiki pesawat terbabit nanti. – AFP

Gambar bertarikh 7 April menunjukkan kapal persiaran Greg Mortimer di luar pelabuhan Montevideo. – AFP