Penumpang penuhi KLIA tunggu status penerbangan

SEPANG, 23 OGOS – Ruang pelepasan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat dipenuhi ribuan penumpang yang menanti pengumuman terkini mengenai status penerbangan masing-masing yang mengalami kelewatan ekoran gangguan sistem di lapangan terbang itu.

Gangguan sistem yang melanda KLIA dan klia2 sejak Rabu malam telah menjejaskan sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Fatin Afiqah Zaimi, 25, bersama seorang rakannya sepatutnya menaiki pe-nerbangan ke Manila pada pukul 8 pagi hari ini untuk bercuti tetapi dimaklumkan penerbangan ditangguhkan ke pukul 10 pagi, namun selepas pukul 10 pagi pun, masih tiada perkembangan mengenai waktu pelepasannya.

Berikutan dengan masalah gangguan sistem itu, pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menasihatkan para penumpang supaya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pesawat mereka berlepas. – Bernama

Kelihatan para penumpang pesawat penerbangan terpaksa menunggu jadual penerbangan yang ditunda berikutan gangguan sistem ketika tinjauan foto Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin. – Bernama