Penumpang tamat kuarantin, transit dibenar naik pesawat domestik

PUTRAJAYA, 15 APRIL – Hanya penumpang yang telah melepasi tempoh kuarantin serta penumpang transit dari luar negara, yang dibenarkan untuk menaiki penerbangan domestik serta ke Sabah dan Sarawak, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penerbangan tersebut diluluskan Kementerian Pengangkutan yang menyediakan penerbangan ke Sabah dan Sarawak, melalui Malaysia Airlines.

Beliau menjawab persoalan orang ramai yang mempersoalkan mengapa terdapat penerbangan domestik ke Sabah dan Sarawak, semasa  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika ini.

“Jadi saya ingin maklumkan bahawa ada di antara mereka yang dikuarantinkan, telah mula boleh keluar dari pusat kuarantin dan ada yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

“Kalau kita nak buka pada 1 Mei penerbangan ke Sarawak dan Sabah, maka mereka masih kena terus tinggal di pusat itu, sebab itulah Kementerian Pengangkutan berpandangan perlu ada penerbangan pulang dan mereka tidak perlulah dikuarantin lagi,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata penerbangan domestik itu juga disediakan bagi mereka yang dari luar negara yang
mengambil penerbangan sambungan ke Sarawak dan Sabah, yang kemudian akan dikuarantin di negeri masing-masing. – Bernama

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media di bangunan Perdana Putera,
kelmarin. – Bernama