ATLANTA, 25 DIS – Amerika Syarikat (AS) akan mewajibkan penumpang penerbangan dari Britain untuk mendapat keputusan negatif dalam ujian COVID-19 sebelum penerbangan, Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC) mengumumkan lewat kelmarin.
AS menjadi negara terbaharu untuk mengumumkan sekatan perjalanan kerana varian baharu koronavirus yang merebak di Britain dan lain-lain tempat.
Penumpang penerbangan dari United Kingdom (UK) akan perlu mendapat keputusan negatif dalam ujian COVID-19 dalam tempoh tiga hari perjalanan mereka dan memberikan keputusan ujian kepada syarikat penerbangan, menurut kenyataan CDC. Agensi berkata arahan akan ditandatangani hari ini dan akan berkuat kuasa mulai Isnin.
“Jika penumpang memilih untuk tidak menjalani ujian, syarikat penerbangan mesti menghalang mereka dari menaiki pesawat,” menurut kenyataan daripada CDC.
Agensi berkata disebabkan sekatan perjalanan berkuat kuasa sejak Mac, perjalanan udara dari UK ke AS menurun sebanyak 90 peratus.

Hujung minggu lalu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata varian baharu koronavirus dilihat mudah merebak dari yang sebelum ini dan merebak pantas di seluruh England.
Berpuluh-puluh negara sejak itu menggantungkan penerbangan dari UK.
Tetapi Johnson menegaskan, ”Tiada bukti menunjukkan ia lebih berbahaya atau menyebabkan lebih banyak penyakit, atau vaksin akan kurang berkesan untuk melawannya.”
Minggu ini, gabenor New York, Andrew Cuomo berkata tiga buah syarikat penerbangan yang dijadualkan dari London ke New York – British Airways, Delta dan Virgin Atlantic – bersetuju untuk mewajibkan para penumpang menjalani ujian COVID-19 sebelum menaiki pesawat.
Britain berada dalam tekanan sejak berita varian baharu virus diumumkan. Kira-kira 40 buah negara mengenakan sekatan perjalanan ke atas Britain, hingga menyebabkan negara tersebut semakin terpulau, selepas Johnson memberi amaran varian baharu virus mungkin 70 peratus lebih mudah menjangkit.- AFP






























